Nov 10, 2009

Pilihan dan Masa Depan.

Huih! Dah berhabuk rupanya blog ni setelah lama aku tinggalkan. Tak sempat nak menyapu, nak vacum pun dah tak larat. Tak apalah. Aku tepis-tepis je sikit habuk-habuk tu. Aku tambah dengan habuk yang lain.

Raya dah habis. Deepavali pun dah usai. Orang nak naik haji pun dah ramai yang sampai ke Mekah. Maknanya tak lama lagi menyusul pulak Aidil Adha. Raya lagi. Cuti lagi. Apa nak kisah? Aku memang hari-hari cuti.

Lagi 4 hari. Tambah lagi satu umur aku. Dah lebih suku abad. Dah melewati 3 tahun dari suku abad. Dalam usia begini, aku dapat menyaksikan ramai rakan-rakan seusia sudah sampai ke satu tahap yang aku kira boleh mereka banggakan. Berkerjaya, berkahwin, mempunyai keluarga sendiri. Aku? Jauh ketinggalan keretapi. Orang dah sampai bulan, aku masih terhegeh-hegeh bertatih di atas bumi.

Oh, ya! Minggu lepas aku berjumpa dengan rakan-rakan lama sewaktu bekerja di Powernics dulu. Kak Ning dan Nani. Menjamu selera dengan buffet steamboat di Seoul Garden IOI Mall New Wings (yang dibayar oleh Kak Ning. Thanks Kak Ning!) sambil bergelak ketawa dan meng'update' diri masing-masing. Banyak update daripada mereka. Aku? Tak ada benda yang nak aku update kan. Masih sama. Tak ada apa yang berubah. Masih di takuk lama.

Sedikit kata-kata nasihat daripada mereka berdua agak terkesan dalam diri aku. Sampai bila? Itu persoalannya. It's about time. Sudah tiba masanya aku memikirkan tentang diri aku sendiri. Tentang masa depan aku. Tentang hala tuju aku. Bukan. Ini bukan bermakna aku sudah tidak betah memikul tanggungjawab yang selama ini tergalas. Cuma, aku perlu memikirkan tentang diri aku untuk satu tempoh yang agak lama. Bukan hanya untuk setahun dua yang akan datang.

Aku mempunyai perancangan yang agak besar tahun hadapan. Tapi aku belum pasti untuk memilih yang ini atau yang itu. Masih berfikir. Masih menimbang-nimbang kebaikan dan keburukan dalam pilihan-pilihan yang ada. Yang pasti, kedua-dua pilihan itu bakal merubah masa depan aku. Insya Allah.

Aku masih tidak berani untuk menyatakan apakah pilihan-pilihan tersebut. Biarlah aku simpan sehingga aku sudah membuat keputusan dan melaksanakannya. Insya Allah.

Hurm. Itu kisah aku yang menyimpan harapan. Ini pula cerita harapan emak. Harapan emak yang menggunung.

Semalam, aku keluar dengan emak untuk berjumpa dengan Pesuruhjaya Sumpah untuk mendapatkan cop serta tandatangan perakuan tuntutan SOCSO emak yang harus dilakukan saban tahun. Selepas urusan itu, aku terus menghantar borang tuntutan ke Pejabat PERKESO. Dalam perjalanan pulang, aku dengan emak berbual. Emak menyatakan kerisauannya terhadap aku dan angah yang masih belum bertemu jodoh. Katanya, kalau boleh dia mahu melihat aku dan angah berumahtangga sebelum dia menutup mata selama-lamanya. Aku hanya mampu terdiam. Tak mampu untuk berkata apa-apa. Yang boleh aku katakan setelah lama diam adalah, kalau ada jodoh adalah. Bukan. Aku bukan menulisnya di sini untuk meminta sesiapa datang meminang aku. Tidak sama sekali. Aku masih belum ada hasrat ke arah itu. Diri aku sendiri tunggang-langgang. Macam mana aku nak membina sebuah keluarga? Aku masih belum mampu membayangkan diri aku untuk menjadi seorang isteri dan ibu.

Perkahwinan bukanlah suatu perkara yang boleh dianggap enteng. Aku mahukan sebuah perkahwinan yang berjaya. Bukan setakat berjaya membuat anak. Tapi aku mahukan perkahwinan itu berjaya dengan kebahagiaannya. Dengan suami yang mampu melindung dan membimbing. Dengan anak-anak yang dididik dengan baik. Rumahtangga yang penuh dengan keharmonian. Kalau perkahwinan itu tidak menjanjikan apa-apa selain daripada kehancuran dan kebinasaan, aku lebih rela digelar andartu.

Insya Allah. Aku tahu suatu hari nanti akan tiba jodoh aku. Mungkin apa yang aku tulis tadi nampak bongkak. Nampak angkuh. Seolah-olah aku ini tidak ada perasaan untuk berkahwin. Bukan itu maksud aku. Aku manusia biasa. Hasrat untuk berumahtangga itu pasti ada. Mungkin rumahtangga impian aku itu terlalu 'sempurna' untuk diimpikan. Cuma yang ingin aku tegaskan, aku belum nampak perkara itu akan terjadi dalam jangka waktu terdekat ini. Belum ada bayangnya. Tapi, kalau ditakdirkan Tuhan sudah menetapkan jodoh aku pada bulan hadapan, Wallahualam. Bagaimana ianya boleh terjadi, itu semua DIA yang tentukan.

P/s : Doakan aku semoga ditemukan dengan jodoh yang baik. Yang mampu membimbing aku dunia akhirat. Amin...

Sep 29, 2009

Raya Riot Rayer

Belum terlambat rasanya aku nak buat entri Hari Raya. Bukannya sibuk sangat pun, cuma tak ada idea apa yang mahu diceritakan. Rasanya sambutan raya sama sahaja seperti tahun-tahun yang lepas. Cuma tahun ini tidak ada barang sepasang pun persalinan kurung yang baru. Untuk apa baju baru kalau orangnya masih yang lama?

Pagi raya masih sama. Makan bersama. Memohon ampun dan maaf pada setiap ahli keluarga. Tahun ini, tak ada paket hijau untuk aku. Aku faham, ekonomi keluarga agak meruncing sekarang. Selesai upacara bergambar, kami sekeluarga ke rumah 'Ayah' di Sungai Way, PJ. 'Ayah' adalah abang kepada emak aku yang sulung, tapi berlainan bapa. Ada juga yang panggil Pak Long, Ayah Long. Tapi kami sekeluarga dah 'lekat' dengan panggilan 'Ayah'.

Pulang dari rumah 'Ayah', emak suruh aku singgah di KFC kerana bimbang lauk yang dimasak tidak mencukupi. Orang di KFC pelik melihat aku dan Angah bergegas berjalan seolah-olah ada hantu yang mengejar. Bukan apa, takut orang yang sudah sedia ada di rumah 'Ayah' sudah sampai menyerbu rumah kami pula.

Tengah hari itu, hujan turun mencurah-curah. Hujan rahmat sempena Aidilfitri. Seperti biasa, aku dan Angah sibuk di dapur. Sampailah ke petang. Dan bila semua sudah pulang, aktiviti petang raya pula mengambil alih. TIDUR.

Begitulah cerita raya aku tahun ini. Tak ada yang istimewa. Pagi raya kedua, kami sekeluarga pulang ke kampung di Sungai Besar, Selangor. Macam biasa juga.

Cuma ada 2 perkara yang agak istimewa berlaku di Aidilfitri ini.

1. Malam raya tak sesibuk tahun-tahun yang sudah. Emak mengupah orang mencuci rumah 3 hari sebelum raya. Malam raya, aku sempat merayap dengan Angah, Kak Saadiah dan Umar Thaqif mencari bunga api. :)

2. Raya ke empat, sepupu aku, Firdaus (anak adik emak yang paling bongsu, Cu Mazani) akan terbang ke Egypt. Dia mendapat tempat di Universiti Al-Azhar dan menuntut dalam bidang Undang-undang Syariah. Tajaan sepenuhnya Amanah Raya. Bangga tu.... :)

Dan, di Aidilfitri ini juga, aku agak terkilan dengan sikap seorang sahabat yang dahulunya berjanji untuk bersama selamanya... Kalau hanya kerana 'malam itu' dia nak memulau aku, biarkan. Sekurang-kurangnya, aku dah jalankan kewajipan aku untuk meminta maaf. Selebihnya, terpulang pada dia. Cuma, aku agak tawar hati untuk menghadiri majlis bahagianya yang bakal menjelang nanti... Maaf!

P/s : Aku sedar, aku cuma seorang kawan yang tidak bekerja, tidak punya rupa, tidak ada teman istimewa. Tidak setaraf 'dia' yang punya segalanya. :)

Sep 10, 2009

Hikmah

Entri kali ini bukan pasal drama bersiri dari Indonesia 'Hikmah' yang sering disiarkan di saluran Astro sepanjang bulan Ramadhan. Bukan juga aku ingin mendabik dada menunjukkan kebaikan. Bukan juga untuk berdakwah. Cuma sekadar peringatan untuk diri aku sendiri. Peringatan semoga aku menjadi manusia yang lebih bersyukur.

Adakalanya, kita sebagai manusia biasa sering melihat sesuatu peristiwa itu dari sudut negatif. Berfikir yang bukan-bukan. Meratap. Menghiba. Sama juga aku. Menyesali nasib diri yang kononnya malang. Ditinggal insan-insan tersayang. Tapi aku tidak sedar. Aku berpeluang untuk mengecapi kasih-sayang seorang 'Abah' sehingga umurku menjangkau 25 tahun. Ada insan yang tidak pernah merasai belaian kasih sayang seorang ayah. Malah, lebih parah bila ada yang langsung tidak pernah berjumpa dengan seorang lelaki yang selayaknya dipanggil ayah, abah, papa, daddy, abi dan sebagainya.

Begitu juga dengan Along. Aku masih berupaya menyimpan kenangan bersamanya. Ada insan yang tak pernah punya kakak. Lebih parah, tidak pernah punya adik-beradik.

Edzham. Aku letakkan sahaja begini. Aku bersyukur dia pergi. Kalau dia terus bersama aku, aku tidak tahu apa yang bakal berlaku padaku sekarang. Mungkin juga aku sudah berumah tangga. Dan, lebih sadis kalau dia membawa aku tinggal bersamanya di Pulau Mahsuri.

Aku ini anak bongsu. Perempuan pulak tu. Sehari tak mencium pipi kurus emak sebelum tidur, rasanya bagai tidak lengkap. Sehari tidak bergaduh dengan Angah, tidak sah! Sanggupkah aku berpisah jauh dengan mereka? Pasti sukar kan?

Dan sekiranya aku masih bersama dengan dia sekarang, pasti sukar untuk aku menjalankan tanggung jawab yang aku pikul sekarang. Siapa yang boleh aku harapkan untuk menjaga emak? Sanggupkah aku membiarkan emak seorang diri di rumah? Sanggupkah aku hanya sekadar mendengar berita tidak sihat emak di corong telefon? Siapa yang nak teman emak ke hospital?

Aku bukan anak yang baik. Janganlah cepat menghakimi aku hanya dengan tulisan aku ini. Telah terlalu banyak air mata mereka yang aku titiskan selama ini. Telah terlalu selalu mereka aku sakiti dengan sikap dan kata-kata aku. Kalau ada yang bertanya, aku mengorbankan hidup aku sekarang adalah sebagai satu hukuman di atas apa yang pernah aku lakukan dahulu. Aku tahu, tak terbalas jasa-jasa emak dan abah selama ini. Tak terbayar hutang air mata mereka. Biarlah aku berkorban kali ini.

Emak. Terima kasih di atas segalanya. Halalkan air susu mak yang oya minum semasa kecil dahulu. Abah. Oya rindu. Terima kasih abah. Di atas peluh keringatmu mencari sesuap nasi untuk oya. Terima kasih ibu bapaku. :)

P/s : Adakalanya hikmah yang terselindung itu terlalu kecil. Tetapi memberi makna yang besar dalam kehidupan kita.

Sep 2, 2009

Rindu itu rindu aku

Meninggalkan blog ini agak lama. Mungkin akibat idea yang kering-kontang. Atau juga mungkin kerana aku semakin kehilangan rasa. Semua yang berlaku dalam hidup makin tidak memberi apa-apa erti. Kosong.

Hari demi hari berlalu dengan pantas. Pagi berganti petang. Siang berganti malam. Dan aku terus membiarkan hari-hari itu berlalu tanpa ada makna. Sedar tak sedar, sudah lewat dua minggu kita semua berpuasa di bulan Ramadhan. Hendak tak hendak, lagi dua minggu kita semua akan menyambut lebaran. Aku tahu, lebaran itu terlalu bererti. Terlalu bermakna. Tapi, aku tak mampu merasai makna itu. Gagal.

Aku teramat rindu dia! Sumpah! Aku tahan dan terus bertahan, simpan dan terus menyimpan, pendam dan terus memendam, sehinggakan adakalanya aku rasa ia terlalu menjerut tangkai hati. Membuat aku sukar bernafas. Sakit. Perit.

Mungkin kerana rasa rindu itu, aku sudah 'immune' untuk merasakan makna yang ada dalam hidup di sekeliling aku. Aku rasakan yang tanpa dia, semua seakan tiada erti.

Ada tiga yang aku terlalu amat rindu. Tiga insan. Tiga wajah. Tiga kasih dan tiga sayang. Tiga yang memberi tiga per empat makna dalam hati aku. Dalam hidup aku. Dalam jiwa aku. Dan ketiadaan mereka, membuatkan cuma satu per empat sahaja hati aku yang terisi. Yang punya makna. Yang mampu merasa.

Dua daripadanya tidak mungkin akan aku ketemu lagi. Hanya mungkin dalam mimpi. Mimpi indah. Walau apa jua warna mimpinya, selagi wujudnya mereka berdua dalam mimpi itu, mimpi itu aku kategorikan sebagai mimpi indah. Indah yang teramat indah.

Yang seorang lagi masih ada. Namun aku tidak berharap untuk bertemu lagi. Cukuplah. Cukup aku hidup hanya dengan kenangan bersama dengannya. Cukup segala apa yang aku rasa sepanjang aku bersamanya. Dia tinggalkan aku. Pergi. Hilang. Lenyap. Dan aku hanya diam. Adakalanya, aku rasakan aku tidak mungkin akan mencari pengganti dia. Biarlah sudut yang kosong ditinggalkan olehnya terus kosong.

Along. 8 tahun. Satu jangka masa yang lama. Tapi raut wajahnya, senyumannya, marahnya, gelaknya, semua masih terakam indah di dalam fikiranku. Lalu aku simpan kemas, rapi di ruang hati yang istimewa. Masih aku ingat waktu itu. Aku dan along. Di atas katil along yang sempit. berhimpit. Berpelukan. Bercerita. Along suka mendengar aku bercerita. Dia suka kalau aku bercerita tentang kungfu. Indah. Bau badannya masih aku ingat. Masih melekat di hidungku. Saat dia pergi, pergi meninggalkan aku selama-lamanya, terlalu pahit untuk aku ingat. Aku peluk abah sekejap-kejapnya. Basah dada abah dengan air mataku.

Lima tahun berlalu. Abah pula pergi. Aku kehilangan satu-satunya abah yang paling aku sayang. Abah yang aku peluk seerat-eratnya setiap pagi ketika membonceng motornya ke sekolah. Abah yang hanya tertawa dengan sikapku yang menangis bila dia terlambat mengambilku di sekolah. Abah yang kemudiannya mengajar aku tentang berdikari. Abah yang suka makan dan minum yang manis-manis walaupun diabetis sudah lama ada dalam darahnya. Abah yang suka mengajak aku ke sana ke mari apabila aku sudah pandai memandu. Abah yang akan datang menjengukku di bilik apabila aku tidak sihat. Waktu dia pergi, aku genggam lengan abang awe sekuat-kuatnya. Aku biarkan air mataku mengalir jatuh ke lantai. Kemudian, aku genggam tanganku sendiri sehingga sakit. Merah. Dan aku memberitahu Edzham akan pemergian abahku. Dialah orang pertama yang kuberitahu.

Setahun berlalu. Edzham pula pergi meninggalkan aku. Terkapai-kapai. Kehadiran Maisara dalam hidupnya merampas kebahagiaan aku. Biarlah. Itu yang dia mahu. Itu yang dia pinta. Dan aku hanya mampu diam. Pendam. Simpan. Rindu itu. Rindu aku. Biarkan.

Aug 17, 2009

Kuat vs Ego

Agak lama aku tidak membicarakan soal hati dan perasaan. Aku cuba untuk tidak melayani perasaan yang bukan-bukan kerana aku sudah berjanji untuk menjadi seorang wanita yang kuat.

Kuat. Secara lahirnya, kekuatan itu boleh diukur dengan mata kasar. Mampu memikul barang yang berat, maka kuatlah dia. Tapi, apa pula kayu pengukur untuk kekuatan hati? Kekuatan jiwa mengharungi segala macam cabaran dan dugaan? Mampukah dilihat dengan mata kasar?

Kekuatan hati atau jiwa ini terlalu banyak bergantung pada tahap kesabaran dan keimanan. Tinggi tahap sabar kita, maka kuatlah kita membendung segala bentuk dugaan. Tinggi tahap iman dalam diri, maka kuatlah jiwa menahan segala macam godaan.

Tetapi, setinggi mana pun tahap kesabaran manusia itu, ada kalanya akan tewas juga dengan kelemahan yang ada dalam diri. Dalam situasi ini, sekali lagi iman memainkan peranan. Tebal imannya, tewasnya hanya dengan mengalirkan air mata dan mengeluh. Nipis imannya, segala macam perkara bodoh akan dilakukan.

Aku tidak fikir ada perempuan yang benar-benar 'kuat' menahan perasaan hiba, sayu. Ditinggalkan kekasih, suami, anak, keluarga, sahabat handai. Mungkin orang lihat dia biasa. Gembira. Bagai tiada apa. Tapi isi hatinya, pernahkah ada yang mampu menelahnya?

Hidup ini bukan Akademi Fantasia. Bukan juga One In a Million. Apatah lagi Pentas Pilih Kasih. Tak mungkin sama seperti Anak Wayang. Hidup ini terlalu realiti. Bukan realiti yang dipertontonkan di televisyen. Tidak perlu terlalu meng'expose'kan diri untuk memberitahu bahawa aku sedang bersedih. Tidak perlu menangis teresak-esak di hadapan semua orang untuk meraih simpati. Tidak perlu terlalu 'over excited' andai sedang bergembira. Tidak ada talian untuk menghantar sms kepada Tuhan untuk melayakkan kita menjadi juara di pentas dunia. Tidak ada! Yang ada cuma dua Malaikat di bahu kiri dan kanan kita yang mencatat apa sahaja yang kita lakukan untuk dinisbah kelak.

Hakikatnya, kekuatan seorang perempuan itu cuma lahir untuk dipertontonkan kepada orang lain. Kerana perempuan yang teramat selalu dianggap lemah ini bukanlah jenis yang suka meraih simpati. Segala-galanya disimpan kemas. Sekemas-kemasnya di arkib hati. Namun, apabila bersendirian, sunyi, menanti waktu untuk melelapkan mata sementara menunggu hari esok, akan terburai jua segala kesedihan yang tadinya tersimpan kemas. Airmata jadi penawar. Tak perlu orang lain tahu. Cukup untuk dikongsi bersama bantal alas tidur dan Tuhan Yang Maha Mengetahui.

Dan, aku terfikir sejenak. Kekuatan yang dipertontonkan pada orang lain itu, dari mana sumbernya? Jawapannya, ego. Keegoan perempuan itu digunakan untuk mempertontonkan kekuatannya di hadapan orang lain, demi untuk tidak meraih simpati.

Dan aku tidak perlu lagi melenting marah andai ada yang mengatakan aku ego. Aku bangga menjadi ego. Kerana keegoan seorang perempuan seperti aku digunakan untuk menunjukkan kekuatan aku. Bukan untuk menunjuk-nunjuk semata-mata. Tetapi juga untuk tidak meraih simpati orang lain, dalam erti kata lain, tidak menyusahkan orang lain...

Aug 11, 2009

Melodi : Mencabul Hak Asasi Manusia

Aku tak tahu kenapa aku makin menyampah tengok rancangan MELODI kat TV3. Aku rasa ianya tak ada kena mengena dengan penukaran pengacara ataupun waktu siaran. Tapi ianya adalah kerana wartawan melodi terlalu MELAMPAU dan EKSTRIM!

Apabila sesuatu perkara itu digembar-gemburkan, maka wartawan mula mencari sasaran untuk mendapatkan kesahihan. Itu perkara betul. Tapi yang aku hairan, walaupun berulang-kali individu itu menafikan, soalan demi soalan tetap diajukan seolah-olah wartawanitu tidak berpuashati dengan penafian tersebut. Ada kalanya, soalan-soalan yang keluar sangat tidak relevan dan seolah-olah memaksa seseorang individu itu mengaku kesahihan akan sesuatu perkara.

Dan sekiranya seseorang itu enggan pula ditemuramah, wartawan melodi sanggup "berkhemah" di halaman rumah atau pejabat individu terbabit sehingga individu itu muncul dan akan ditemuramah secara paksa. Bagi aku, itu sudah dikira mencabul hak seseorang individu itu. Menjadi seorang artis itu bukan platform untuk para wartawan mengetahui segala-galanya mengenai artis itu sehinggakan tiada langsung ruang peribadi untuknya. Alasan mereka, peminat mahu tahu. Tapi jangan tipulah! Aku pun peminat. Aku tak pulak nak tahu sangat si polan tu keluar makan malam dengan siapa, si polan ni suka bergayut dengan siapa. Dan aku juga langsung tak mahu tahu kalau artis itu pakai seluar dalam victoria secret kaler merah atau langsung tak berseluar dalam. Aku teringin nak tanya wartawan-wartawan melodi tu. Dia orang suka ke kalau orang ambik tahu hal dia? Sampai ke dalam kain pun nak diselak?

Ini salah satu cara wartawan melodi mencari berita yang bagi pendapat aku sangat kurang ajar dan mencabul hak asasi manusia!




BETUL TAK AKU CAKAP???!!

Aug 4, 2009

Tips

Tips menjawab soalan "Kau bila nak kahwin?"

  1. "Esok!" Jawab dengan muka sengih karat. Lepas tu terus blah!
  2. "Bulan depan!" (Yang pastinya bulan depan tu tak tau bila. Bulan Disember tahun 2020 pun kira bulan depan gak apa?)
  3. Kau reka jer tarikh yang tak wujud. Contohnya, "30 Februari tahun depan kawinlah aku!" Muka mesti confident. Sampai kiamat dia carik tarikh 30 Februari tak akan ada... Takpun, 31 April ke, 31 Jun ke, 31 September ke, 31 November ke...
  4. "Aku memang nak kawin. Tapi bakal laki aku kena H1N1!" Buat muka sedih yang teramat. Mesti diorang tak sanggup nak tanya banyak-banyak lagi.
  5. "Apasal ko tanya-tanya? Ko nak ngorat aku ke apa?" Yang ni sesuai kalau orang yang bertanya tu berlainan jantina. Mesti dia malu gila babi!
  6. "I tak boleh kawin! Doktor dah sahkan I mandul!" Yang ni bahaya sikit nak guna. Kena tengok-tengok orang jugak.
  7. "Aku takut nak beranak!" Yang ni, kesannya orang akan gelakkan kau. Tapi peduli apa?Janji lepas.
  8. "Tengoklah nanti. Kalau aku rajin, aku kawinlah!" Kena buat muka tak berminat. Kalau tak, tak berkesan dol!
  9. "Kalau kau terer, cuba kau teka, bila agaknya aku akan kawin?"
  10. "Kau tanya aku buat apa? Tanyalah Allah. Dia yang dah tentukan bila aku kawin. Takkan aku nak memandai-mandai?"

Semoga tips yang aku bagi tu berkesan untuk kau orang. Kalau tak berkesan jugak, tak tahu aku nak buat apa lagi...

P/s : Penat sebenarnya nak jawab soalan yang sama berulang kali. Tambah-tambah nak dekat cuti sekolah ni....